Bintulu Dilanda Banjir Terburuk Dalam 10 Tahun, Penduduk Diminta Berwaspada

Disiarkan pada 01 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Keadaan cuaca buruk yang melanda Sarawak sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir besar di beberapa kawasan, dengan Bintulu mengalami bencana terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu telah menyebabkan paras air meningkat mendadak, menjejaskan banyak kawasan termasuk Miri, Kuching dan Sibu.

“Keadaan cuaca buruk seperti yang dijangka oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) telah terbukti benar. Hujan lebat berlarutan menyebabkan banjir yang sangat teruk terutama di Bintulu.

"Ini adalah banjir paling buruk dalam tempoh satu dekad,” katanya ketika ditemui dalam Program Berkhatan Beramai-Ramai di Debak pada Sabtu.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko, terutama di tepi sungai dan berbukit, agar sentiasa berwaspada dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu mengumumkan bahawa kerajaan pusat telah menyalurkan bantuan berjumlah RM25 juta bagi membantu mangsa banjir di Sarawak dan Sabah.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dalam membantu negeri-negeri yang terjejas.

"Dana ini akan digunakan untuk membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Sarawak supaya terus mengikuti perkembangan cuaca daripada Jabatan Meteorologi dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Banjir yang melanda Sarawak kali ini bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda tetapi juga menjejaskan sistem pengangkutan dan menyebabkan beberapa laluan utama terputus.

Pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan operasi pemindahan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas.-EDISI UKAS