Pembangunan Infrastruktur Meradong Diperkasa dengan Sokongan Wakil Rakyat GPS

Disiarkan pada 01 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Meradong bakal menyaksikan pembangunan infrastruktur yang lebih pesat dengan sokongan penuh dua wakil rakyat Parti Gabungan Parti Sarawak (GPS), ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Menurut beliau, usaha menaik taraf kemudahan di kawasan Meradong akan terus diperkukuhkan dengan kerjasama bersama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.

“Kita bertuah kerana Meradong mendapat perhatian dua wakil rakyat GPS yang komited dalam membawa pembangunan ke kawasan ini.

"Dengan kestabilan ekonomi Sarawak, lebih banyak projek infrastruktur dapat dilaksanakan untuk manfaat penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2025 Hari Ketiga bersama masyarakat pada Jumaat.

Beberapa projek utama yang telah dirancang dan sedang dalam pelaksanaan termasuk Naik taraf Tebingan Sungai Bintangor, Pembinaan laluan alternatif Jalan Kilang ke Jalan utama Sungai Tulai, Naik taraf Taman Rekreasi Bintangor dan pembinaan Dewan Serbaguna Dua Tingkat.

Selain itu, oa termasuk projek peningkatan sistem bekalan air, termasuk naik taraf paip utama Jalan Kelupu ke Stesen Booster Tulai serta sistem retikulasi Bandar Bintangor dan Naik taraf jalan utama Kampung Rancak menuju ke Bandar Bintangor.

Selain pembangunan infrastruktur, Kerajaan Sarawak katanya turut memperkenalkan beberapa inisiatif kebajikan untuk rakyat, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi membantu golongan berpendapatan rendah serta peruntukan tambahan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelang pelaksanaan pendidikan percuma pada 2026.

Dalam sektor kesihatan, Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) dan Kenyalang Gold Card (KGC) akan diperluaskan bagi memastikan warga emas di Sarawak mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, tambahnya.

Datuk Ding menegaskan bahawa dengan kerjasama erat antara wakil rakyat dan kerajaan negeri, pembangunan Meradong akan terus dipacu ke arah yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS