KUCHING: Pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif perlu dibincangkan secara terbuka bagi memastikan remaja mendapat maklumat yang tepat dan membuat keputusan secara bertanggungjawab.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri menegaskan, dalam dunia yang semakin berkembang dengan pengaruh budaya global serta akses tanpa had kepada maklumat digital, mengelak perbincangan mengenai isu ini hanya akan membuka ruang kepada penyebaran maklumat yang salah.
“Jika kita tidak membincangkan isu ini secara terbuka, siapa yang akan memberi penerangan kepada anak-anak kita? Jika bukan ibu bapa dan pendidik, maka mereka akan mencari jawapan di tempat lain, yang belum tentu tepat,” katanya dalam majlis pelancaran ‘Dawn Hope: A Safe Haven for Girls in Need’ di Grand Margherita Hotel, Kuching, pada Sabtu.
Kenyataan ini dibuat susulan peningkatan kes kehamilan remaja di Malaysia, di mana sebanyak 44,263 kes telah direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 17,646 kes melibatkan ibu muda yang tidak berkahwin.
Menurut Dato’ Sri Nancy, pendekatan terhadap isu kehamilan remaja tidak boleh sekadar bersifat reaktif, sebaliknya memerlukan langkah pencegahan melalui pendidikan awal yang menyeluruh.
“Kehamilan remaja bukan sekadar isu sosial, tetapi juga membabitkan masa depan anak-anak ini. Kita perlu mendidik mereka dengan ilmu yang betul, bukan menghukum mereka kerana kurangnya pendedahan dan bimbingan,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan kesihatan seksual bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
Oleh yang demikian, kementeriannya telah bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat bagi memperkukuh program kesedaran serta pendidikan kesihatan seksual yang lebih efektif.
Tambah beliau, Inisiatif ‘Dawn Hope’ sendiri bukan sekadar pusat perlindungan, tetapi turut menyediakan kaunseling, sokongan mental, serta pendidikan dan latihan vokasional kepada remaja perempuan yang terkesan.
“Jika kita benar-benar mahu menangani masalah ini, kita perlu memecahkan stigma dan membina persekitaran yang selamat untuk anak-anak bertanya dan belajar,” tambahnya lagi.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri Pengerusi Yayasan Sime Darby, Yang Amat Mulia Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar serta wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang terlibat dalam program ini.-EDISI UKAS