Banjir Mulai Surut, 2 PPS Ditutup Setakat Ini

Disiarkan pada 01 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bencana banjir yang melanda Sarawak sejak enam hari lalu mulai surut apabila dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditutup setakat pagi Sabtu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, keadaan di kawasan banjir mulai terkawal, malah ada kawasan yang sudah memulakan kerja-kerja pembersihan.

“Dua PPS di Bau telah ditutup dan kita dapat lihat di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (LPB) tadi, semalam ada air tetapi hari ini sudah tiada lagi air yang melimpah atas jalan raya.

“Di Bintulu, air mulai surut kerana Residen Bintulu ada memaklumkan dan menghantar gambar kepada saya, memang surut dan sekarang mereka bersiap sedia untuk membuat kerja pembersihan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke PPS Dewan Ranchan di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu memberitahu, jumlah mangsa di PPS di tujuh bahagian wilayah ini setakat Jumaat meningkat.

“Setakat semalam, kita ada 63 PPS telah dibuka di tujuh bahagian seluruh Sarawak dan jumlah isi rumah yang telah dipindahkan ialah 3,696 dengan jumlah keseluruhan mangsa ialah 12,692 orang,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa JPBNS bersama agensi tindakan akan terus bekerjasama dalam memantau keadaan banjir di seluruh Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta pegawai kerajaan lain yang terlibat. -EDISI UKAS