JWKS Terbit Buku, Tampil 26 Personaliti Wanita Sarawak

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JKWS) akan menerbitkan buku bertemakan Inovasi dan Teknologi yang
menampilkan 26 personaliti wanita Sarawak pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak), Datuk Rosey Yunus berkata, pencapaian mereka dalam bidang ini telah memberikan impak positif kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Malah katanya, ada beberapa di antara mereka telah meraih pengiktirafan antarabangsa.

"Pelancaran buku ini dirancang akan dibuat pada majlis sambutan Hari Wanita Sarawak 2024 pada 25 Mei ini, namun telah ditunda ke tarikh yang akan diumumkan kemudian," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sementara itu, beliau memberitahu, penerbitan buku sejak 2010 telah mengetengahkan wanita dalam pelbagai bidang dalam pencapaian dan sumbangan wanita Sarawak dalam pembangunan negeri, negara dan antarabangsa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli dan ahli-ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS).-EDISI UKAS