MUKAH : Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, semalam telah meninjau keadaan banjir di beberapa kampung di Mukah, termasuk Kampung Teh Labak, Kampung Sau, Kampung Jebungan, Kampung Penakub, Kampung Tegak, Kampung Teh, dan Kampung Tabo.
Dalam sesi lawatan tersebut pada Khamis lepas, beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan kesejahteraan penduduk yang terjejas.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak berkuasa akan terus memantau situasi banjir yang berlaku di sini.
"Saya harap kerjasama daripada penduduk setempat untuk menyalurkan info terkini kepada Jawatankuasa (JK) Bencana Daerah penting agar dapat mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak bencana ini terhadap komuniti setempat," katanya ditemui media.
Abdul Yakub juga menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap risiko banjir susulan hujan lebat yang dijangka berterusan di kawasan Mukah.
Seterusnya, Abdul Yakub telah melawat beberapa kampung di kawasannya yang dilanda banjir.
Pertembungan air pasang besar dan trend hujan yang berlarutan merisikokan kawasan di sekitar kampong-kampung tersebut.
Beliau meninjau SPS Kampung Sungai Alo, Litong dan Kampung Sungai Ragei disebabkan kawasan-kawasan ini berisiko tinggi dilanda banjir teruk.
Kemudahan seperti Dewan Serbaguna juga turut terjejas, seperti di Dewan Serbaguna Kampung Tutus Ulu.
Beliau mengingatkan penduduk kampong agar sentiasa berwaspada, dan utamakan jiwa dan pastikan barang-barang pengenalan diri juga perlu diutamakan.
"Sentiasa mendapat maklumat dan info terkini daripada sumber yang sah. Bagi yang ada anak-anak kecil, jangan biarkan berkeliaran bermain semasa banjir.
"Risiko lemas dan masalah penyakit serta binatang atau reptilian semasa banjir adalah berbahaya," jelasnya. -EDISI UKAS