Dato Sri Fatimah Turun Padang Tinjau Banjir di Dalat

Disiarkan pada 01 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


DALAT: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, melawat beberapa kampung yang dilanda banjir di sini pada Jumaat.

Antaranya ialah Kampung Tanam, Kampung Sungai Ud, Kampung Kekan, dan Kampung Medong di mana kawasan-kawasan ini berisiko tinggi dilanda banjir teruk sekiranya hujan lebat berterusan dan bertepatan dengan air pasang besar.

Sementara itu, laluan jalan raya di beberapa kawasan terjejas terutamanya berhampiran sungai terganggu menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan kecil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada penduduk yang terjejas agar bersabar dan tabah mengharungi dugaan yang berlaku.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk kampung diingatkan supaya sentiasa berwaspada terutama ketika dilanda musibah," katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Dalat En. Mathew Bin Hubert, Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat dan Pegawai Pertahanan Awam Dalat, Leftenan (PA) Muhammad Helmi Halim. -EDISI UKAS