20 Lokasi Jalan Alami Kerosakan & Banjir Di Serian

Disiarkan pada 01 Feb 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Sebanyak 20 lokasi jalan di Serian dikenal pasti mengalami kerosakan serta banjir.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kini giat menjalankan kerja-kerja membaik pulih jalan yang terjejas.

"Di Serian, saya diberitahu oleh jurutera (JKR) tadi bahawa terdapat 20 lokasi yang mengalami banjir dan kerosakan.

"Kami telah mengarahkan JKR untuk membaikinya supaya ia tidak mengganggu komunikasi penduduk. Jadi, mereka akan melaksanakannya secara penuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PSS) Dewan Masyarakat Ranchan di sini pada Sabtu.

Tambahnya, jalan-jalan di ulu Bintulu seperti di Sebauh juga kini dalam pembaikan dengan pihak JKR telah berada di lokasi untuk mempergiatkan usaha-usaha mereka di kawasan yang terputus jalan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu memberitahu, anggaran jumlah kerosakan akibat banjir di Sarawak masih belum dikenalpasti namun pengumpulan data untuk tersebut bakal dilaksanakan pada keesokan hari.

"Kita telah mengarahkan semua Pejabat Residen untuk menyerahkan jumlah kerosakan sama ada bangunan awam mahupun swasta agar kita dapat melihat keseluruhan kerosakan.

"Anda pun tahu Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan dana bantuan kepada Sarawak dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga menambah dana JPBNS sebanyak RM10 juta.

"Ini semua adalah sebagai persediaan untuk keperluan yang mungkin timbul bagi membantu rakyat dan meringankan masalah mereka," ujarnya. -EDISI UKAS