SERIAN: Kerajaan Sarawak memberi jaminan bahawa kebajikan mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri akan terus diberi perhatian sepenuhnya oleh agensi berkaitan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan bahawa segala keperluan asas termasuk makanan, tempat tidur, dan perkhidmatan kesihatan telah disediakan di setiap PPS bagi memastikan keselesaan mangsa.
“Keperluan seperti tilam, selimut, bantal serta makanan telah tersedia sepenuhnya. Malah, perkhidmatan kesihatan juga diberikan kepada mereka yang memerlukan.
“Pagi ini, pegawai kesihatan melaporkan terdapat dua warga emas yang sakit di PPS Dewan Ranchan dan mereka telah menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan bertugas,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan mangsa di PPS berkenaan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, pihaknya turut menyalurkan bantuan ke kampung-kampung yang terputus hubungan akibat banjir.
“Kampung Merakai, misalnya, berada jauh dari PPS ini dan terputus hubungan akibat banjir. Hari ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan menghantar bekalan makanan kepada penduduk di sana.
“Kita akan terus memantau situasi di kampung-kampung lain, dan jika keadaan bertambah buruk, arahan pemindahan akan dikeluarkan demi keselamatan mereka,” ujarnya.
Selepas meninjau keadaan di PPS Dewan Ranchan, Datuk Amar Douglas meneruskan lawatan ke PPS Kampung Melayu di Balai Ringin bagi melihat sendiri keperluan mangsa di sana.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir yang direkodkan di kedua-dua PPS kekal sama, dengan seramai 220 mangsa daripada 59 keluarga berlindung di PPS Dewan Ranchan, manakala PPS Kampung Melayu menempatkan 28 keluarga dengan jumlah keseluruhan seramai 100 orang.
Kerajaan negeri terus komited memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga, dengan bantuan berterusan diberikan sehingga keadaan kembali pulih.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta pegawai kerajaan lain yang terlibat. -EDISI UKAS