SUBIS: Bencana banjir di Daerah Subis semakin kritikal apabila Pekan Bekenu ditenggelami air sejak dua hari lalu, menyebabkan laluan kenderaan terputus sepenuhnya.
Beberapa kampung dan rumah panjang turut mengalami banjir teruk, memaksa pasukan penyelamat bekerja tanpa henti untuk mengesan dan memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat.
Malangnya, Bilik Operasi Bencana Subis turut lumpuh akibat terputus hubungan, menyebabkan petugas terkandas.
Bantuan menggunakan bot penyelamat dihantar hari ini untuk membawa mereka keluar, dengan kerjasama Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni, yang turut turun padang membantu.
Keadaan banjir kali ini memerlukan jumlah anggota dan peralatan penyelamat yang mencukupi, memandangkan keluasan kawasan Subis dan jarak antara lokasi terjejas yang agak jauh.
Setakat pemantauan petang tadi, paras air di kawasan terjejas masih berada pada tahap membimbangkan dan belum menunjukkan tanda-tanda surut.
Pasukan penyelamat masih giat memindahkan mangsa ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu sehingga malam tadi.
Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Mereka juga diingatkan untuk mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mengelakkan daripada melalui kawasan banjir yang berbahaya. -EDISI UKAS