Sukarelawan Sarawak Bersatu Bantu Mangsa Banjir Di Bekenu

Disiarkan pada 31 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


BEKENU: Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Sarawak baru-baru ini telah menyebabkan banjir di beberapa kawasan, termasuk Bekenu.

Dalam menghadapi bencana ini, solidariti rakyat Sarawak terserlah melalui usaha sukarelawan yang giat membantu mangsa banjir.

Persatuan Belia Miri dan Persatuan Belia Kristian Rhema telah mengambil inisiatif dengan menyediakan lima buah bot untuk mengagihkan bantuan di sekitar Bekenu, di samping membantu menghantar bekalan air minuman dan biskut ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu.

Pengerusi Persatuan Belia Miri, Matassan Rohani, menyatakan bahawa sukarelawan telah digerakkan untuk menyalurkan bantuan makanan kedua, memandangkan anggaran seramai 300 mangsa banjir berada di PPS tersebut, dengan kemungkinan jumlah ini meningkat dari semasa ke semasa.

"Persatuan Belia Miri sangat prihatin dengan keadaan bencana yang melanda, bukan sahaja di SMK Bekenu ini, malah sebelum ini di kawasan lain seperti Lereng Bukit dan Pujut Adong," kata Matassan.

Beliau turut menyeru penduduk di kawasan Miri dan Bekenu untuk bersama-sama memberikan sumbangan melalui Persatuan Belia Miri bagi membantu mangsa-mangsa bencana di kawasan yang terjejas.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa seramai 30 hingga 40 sukarelawan dari Persatuan Belia Miri akan membantu di PPS SMK Bekenu.

Usaha murni ini mencerminkan semangat kesukarelawanan dan solidariti rakyat Sarawak dalam menghadapi bencana, memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan dengan pantas dan berkesan. -EDISI UKAS