SRI AMAN: Keadaan banjir yang melanda kawasan Pantu telah menyebabkan Jambatan Batang Seterap, salah satu laluan utama penduduk, terjejas dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.
Peningkatan paras air mengakibatkan lebih 40 rumah panjang di seberang jambatan tersebut terputus hubungan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, masalah ini juga menyulitkan akses kepada kemudahan asas dan perkhidmatan kecemasan, menjadikan penduduk terpaksa menghadapi kekangan dalam mendapatkan bantuan serta keperluan harian.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Pantu bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia menyalurkan bantuan makanan dan bekalan asas kepada penduduk terjejas sebaik sahaja keadaan mengizinkan,"katanya ketika meninjau keadaan banjir di sekitar jambatan itu, pada Jumaat.
Turut serta ialah Pegawai Daerah Pantu Raca Mulong, kakitangan Pejabat Daerah Pantu Stanley Randy, Patat Governor, Franklin Regu dan Tom Desmond, serta Kapitan Lee Khin Onn. -EDISI UKAS