ADUN Machan Pantau Kawasan Terjejas Tanah Runtuh Dan Banjir

Disiarkan pada 31 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MACHAN: Prihatin dengan kejadian tanah runtuh dan banjir di sekitar Machan, wakil rakyatnya Allan Siden Gramong turun padang meninjau kawasan terjejas.

Dalam lawatan pada Khamis, Allan mengunjungi Rumah Morris Jubit, Batu Luking yang mengalami terkesan akibat kejadian tanah runtuh berlaku pada jam 2 pagi, Rabu lalu.

Kejadian tersebut telah merosakkan bahagian hadapan rumah panjang 13 pintu itu.

Beliau kemudiannya meninjau keadaan jalan runtuh di Rumah Surat dan SMK Kanowit, selain meninjau beberapa jalan yang terputus akibat banjir di Jalan Lipus, Melipis, Rantau Kemiding dan Mam sebelum meneruskan lawatan ke Rumah Jelita Jipun Serugin.

Selain memantau kawasan terjejas, beliau turut melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan Kanowit yang kini menempatkan 26 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan 81 mangsa yang dipindahkan akibat banjir.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Dennis Bunyam serta beberapa pegawai lain yang meninjau situasi dan keperluan mangsa di kawasan terbabit.-EDISI UKAS