PPS SK Haji Rangawan Putin Diaktifkan, 20 Mangsa Banjir Dipindahkan

Disiarkan pada 31 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SADONG JAYA: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Rangawan Putin telah diaktifkan hari ini bagi menempatkan 20 orang mangsa banjir yang terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Asajaya, Lt (PA) Hafizul Samah berkata, PPS tersebut mula menerima kemasukan mangsa-mangsa banjir yang terjejas mulai jam 4.15 petang.

Katanya, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat sekiranya hujan berterusan dan fenomena air pasang tinggi berlaku hari ini.

"Setakat jam 6.45 petang, seramai 20 mangsa banjir daripada lima keluarga telah dipindahkan ke PPS ini.

"Daripada jumlah tersebut, 19 mangsa dari Kampung Rangawan melibatkan empat keluarga, manakala seorang lagi dari Kampung Sungai Putin," katanya lagi.

Hafizul menambah, semua persiapan telah dilakukan bagi memastikan keselesaan penduduk yang dipindahkan.

"Pihak berkuasa terus memantau perkembangan banjir dan menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar bersiap sedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk," jelasnya. -EDISI UKAS