TUBAU: Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon bersama meninjau Pekan Tubau dan Rumah Wan Usin, Sungai Merah, Jelalong berikutan paras air yang dilaporkan meningkat sejak tiga hari yang lalu.
Semasa lawatan tersebut, Datuk Wilson turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Rumah Wan Usin.
Menurut Datuk Wilson, bantuan makanan kepada 91 orang penduduk di rumah panjang tersebut akan dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian (JKM) Bintulu.
Beliau turut meminta agar para penduduk sentiasa berwaspada dan membantu antara satu sama lain pada bila-bila masa sekiranya paras air masih meningkat.
Berikutan kekangan akses jalan raya, bagi melancarkan pengambilan bantuan makanan tersebut, pihak JKKK akan mengambil bantuan berupa bakul makanan daripada JKM Bintulu di Pekan Tubau.
Manakala, Kennedy turut menyumbangkan sebanyak RM500 bagi kegunaan membeli bahan api bot JKKK tersebut.
Rumah Wan Usin mempunyai 65 pintu dan terletak kira-kira 45 minit dari Pekan Sebauh dengan menaiki kenderaan atau 20 minit menggunakan bot 15 kuasa kuda.
Turut serta pada lawatan tersebut ialah Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Bintulu Kapt (PA) Mohd Johari Taufik, Ketua Polis Balai Tubau SJN Mohammad Nadziehan Abdullah, barisan pegawai Pejabat Daerah Sebauh diketuai Penolong Pegawai Tadbir Dennis Gasing Inggu dan Pengerusi Jelalong Tubau Action Committee Tuai Rumah Lichong Along –EDISI UKAS