ADUN Katibas & JPBD Song Tinjau Kerosakan Infrastruktur Akibat Banjir

Disiarkan pada 30 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


SONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Song turun padang meninjau kesan banjir di beberapa kawasan dalam konstituensinya pada Khamis.

Turut serta ialah Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin, Pegawai Pendidikan Daerah Song Itam Linggi, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Ambrose Abong Bugek serta wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song Andrey.

Tinjauan melibatkan lima lokasi utama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas, Rumah Panjang Galana Nanga Tekalit di Sungai Katibas, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bedil, SK Nanga Bangkit, dan SK Nanga Beguang.

Hasil tinjauan mendapati beberapa infrastruktur terjejas teruk akibat arus deras termasuk paip graviti di SMK Katibas yang putus serta jambatan gantung di Nanga Bangkit yang mengalami kerosakan.

Selain itu, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Katibas, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk di kawasan berisiko tinggi.

Menurut Lidam, JPBD Song kini sedang menilai tahap kerosakan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan keadaan dengan segera.

Selain itu, langkah-langkah keselamatan tambahan juga katanya, akan diambil untuk memastikan risiko kejadian lebih buruk dapat dikurangkan, terutama jika hujan berterusan.-EDISI UKAS