Kesesakan ICQS Di Lawas Perlu DiselesaikanĀ 

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


LAWAS: Kesesakan pos imigresen di Lawas perlu diselesaikan untuk jangka masa panjang terutamanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok mencatatkan keluar masuk yang kedua terbanyak selepas ICQS Sungai Tujuh.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Kerajaan Sarawak kini sedang merancang secara jangka masa pendek bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di ICQS sempadan di sini.

“Untuk jangka masa panjang pula kita akan kaji bagaimana kita boleh mempertingkatkan kemudahan laluan di sini supaya tidak menghadapi masalah kesesakan yang serius terutama di masa puncak,” katanya demikian dalam satu sidang media di ICQS Mengkalap Trusan, Lawas pada Khamis.

Untuk rekod, sejumlah 195,687 kenderaan keluar dan masuk melalui sempadan Mengkalab sepanjang 2023 dan bagi Januari hingga April tahun ini pula mencatatkan sejumlah 73,221 kenderaan keluar dan masuk sempadan direkodkan oleh Jabatan Kastam Lawas.

Sementara itu, bagi pergerakan pelawat melalui sempadan Mengkalab dan Merapok di Lawas untuk tempoh Januari hingga April 2024 ialah seramai 466,446 orang.

Selain itu, Dato Sri Lee menambah, Imigresen Sarawak akan membuat rancangan jangka panjang di Sungai Tujuh, Pandaruan, Mengkalap dan Merapok dengan maklumat tersebut akan turut dibincangkan bersama pihak Kerajaan Brunei

Namun begitu katanya, Kerajaan Sarawak hanya membantu mencari jalan penyelesaian bagi masalah kerana ICQS ini di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Mengulas mengenai ICQS Sungai Tujuh, Dato Sri Lee memberitahu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk mengatasi masalah kesesakan di sana.

“Kita telah mengkaji masalah di Sungai Tujuh untuk mengurangkan kesesakan sempadan. Untuk jangka masa pendek, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah membantu dengan peruntukan RM4 juta seperti menambah kaunter untuk mengatasi masalah ini,” katanya. -EDISI UKAS