BPHB Catat Keuntungan RM125.06 juta Tahun 2023

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM125.06 juta setelah menerima hasil sebanyak RM821.64 juta untuk tahun 2023.

Pengurusan dan operasi yang berkesan telah membawa kepada peningkatan hasil sebanyak RM821.64 juta pada 2023 berbanding RM819.79 juta pada 2022 dengan pengendalian kargo mencecah 48.77 juta tan metrik serta jumlah panggilan kapal pada 2023 berjumlah 7,708 berbanding 7,505 pada 2022 melepasi sasaran sebanyak 102 peratus.

Setiausaha Kerajaan Sarawak selaku Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menzahirkan rasa bangga kerana mengumumkan Laporan Tahunan Bersepadu Kumpulan untuk 2023.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, BPHB menunjukkan daya tahan, kebolehsuaian dan komitmen terhadap kecemerlangan,” katanya demikian dalam satu kenyataan rasmi selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 (BPHB) pada Isnin.

Bergerak ke hadapan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani berkata, Pelabuhan Bintulu bersiap sedia untuk menyokong pembangunan ekonomi Sarawak sebagai pelabuhan laut dalam utama di Sarawak.

Ujarnya, BPHB bersedia dengan strategi tiga serampang untuk mempertingkatkan Perniagaan Pelabuhan Teras, menerokai Perniagaan Luar Pelabuhan, dan beralih ke ruang Karbon Rendah dan Tenaga Bersih

“Kami juga memperkenalkan budaya korporat baharu perniagaan yang memfokuskan pada Sentrik Pelanggan, Fokus Penyelesaian, Peningkatan, Berfikiran Hasil dan Didorong Nilai,” ujarnya.

Tambahnya, Pelabuhan Bintulu bukan sahaja terus memainkan peranan pentingnya sebagai pintu masuk eksport utama bagi industri minyak dan gas bahkan bersedia untuk menjadi hab bagi sumber biojisim, petrokimia dan tenaga hijau selaras dengan agenda Tenaga Bersih Kerajaan Sarawak.

Justeru katanya, BPHB kekal komited untuk memenuhi keperluan pelanggan dan menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai Pusat Kuasa Boleh Diperbaharui di rantau Asia. -EDISI UKAS