Dato Hanifah Tinjau Lokasi Banjir Di Sekitar Mukah

Disiarkan pada 30 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib telah meninjau salah satu lokasi yang terjejas akibat banjir di kawasan Kampung Jebungan, Kampung Tegak, Kampung Penakub Ulu, Kampung Teh, dan Kampung Tabo Mukah pada Rabu.

Pertembungan air pasang besar dan trend hujan yang berlarutan sejak malam tadi merisikokan kawasan di sekitar kampong-kampung tersebut.

Beberapa laluan jalan utama dinaiki air pada paras yang merbahaya untuk dilalui oleh kenderaan-kenderaan kecil.

Ahli Parlimen Mukah itu juga mengingatkan penduduk kampung agar sentiasa berwaspada, dan utamakan jiwa dan pastikan barang-barang pengenalan diri juga perlu diutamakan.

“Sentiasa mendapat maklumat dan info terkini daripada sumber yang sah. Bagi yang ada anak-anak kecil, jangan biarkan berkeliaran bermain semasa banjir.

“Risiko lemas dan masalah penyakit serta binatang atau reptilia semasa banjir adalah berbahaya,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan ketua-ketua jabatan yang lain. -EDISI UKAS