Raptai Penuh Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan DUN Sarawak Ke-19 Berjalan Lancar

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Raptai penuh sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 melibatkan Istiadat Pemeriksaan Kawalan Utama berjalan dengan lancar. 

Upacara raptai  itu turut dihadiri oleh Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar di sini pada Jumaat. 

Kehadiran beliau sekitar jam 8.50 pagi adalah untuk memastikan persiapan terakhir berjalan dengan lancar sebelum istiadat rasmi berlangsung 6 Mei depan.

Semasa raptai, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia berkesempatan memastikan barisan kawalan kehormatan berada dalam keadaan sempurna. 

Difahamkan, seramai 105 anggota termasuk tiga pegawai dan 102 lain-lain pangkat daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masing-masing diketuai oleh Pegawai Panji Inspektor James Rodney dan Deputi Superintenden Polis (DSP) Jiffry Ardin terlibat dalam istiadat berkenaan.

Dalam pada itu, Kawalan Kehormatan Utama ini juga diiringi oleh Pancaragam PDRM dengan kekuatan seramai 40 anggota yang diketuai oleh Pengarah Pancaragam Inspektor Frankie Billy. 

Raptai yang sama diteruskan di hadapan foyer DUN sebagai langkah alternatif kedua sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan pada Isnin depan.

Hadir sama dalam raptai itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN) Hamdan Sharbini. -EDISI UKAS