Dato Sri Lee Tinjau Kawasan Banjir Di Miri, Arah Tindakan Segera

Posted on 30 Jan 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin turun padang petang Khamis bagi meninjau situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Miri, termasuk Permyjaya, Desa Murni, Desa Senadin dan Tudan.

Dalam lawatannya bersama pasukan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Miri, beliau mengarahkan tindakan segera bagi menangani masalah banjir yang masih belum surut sepenuhnya di beberapa lokasi meskipun cuaca bertambah baik hari ini.

“Di Tudan, keadaan bertambah baik kerana jalan utama tidak lagi ditenggelami air namun, rumah-rumah di kawasan rendah masih terjejas.

“Sebaliknya, di Permyjaya, Desa Indah, Desa Pujut, dan Desa Senadin, beberapa jalan utama masih digenangi air,” katanya.

Dato Sri Lee juga mengarahkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk turun ke lapangan esok (Jumaat) bagi memeriksa sistem saliran, termasuk parit besar yang mungkin tersumbat.

“Saya meminta MBM dan DID untuk segera membersihkan parit yang tersumbat atau menukar struktur parit yang mungkin menghalang aliran air.

“DID juga perlu meninjau keadaan sungai kecil seperti Sungai Adong dan sungai-sungai lain bagi memastikan air dapat mengalir dengan deras dan lancar kerana jika sungai tersumbat, ini akan menyebabkan sistem saliran perumahan tidak berfungsi dengan baik,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan untuk membersihkan sampah dan sisa banjir yang terkumpul di beberapa kawasan, khususnya di Desa Pujut, bagi memastikan kawasan terjejas kembali selamat dan bersih.

Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berharap pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan surutnya banjir serta mengurangkan kesan terhadap penduduk setempat.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Kaunter Jeffrey Phang, Penghulu Nasir Rahim, wakil Residen Miri Melisa Labut dan wakil Pejabat Daerah Miri Edward Tawang. -EDISI UKAS