Kompleks UNIFOR Simbol Dasar Inklusif Kerajaan GPS

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS

KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang dibina dengan kos RM80 juta di Jalan Ong Tiang Swee di sini menjadi simbol dasar inklusif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
 
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang telah meninjau perkembangan projek tersebut pada Khamis menyifatkan projek tersebut sangat penting dan bermakna.

"Projek kini telah mencapai 96.38 peratus siap.

"Walaupun 0.33 peratus di belakang jadual sebenar tetapi kita berpuas hati dengan perkembangan projek," ujarnya semasa ditemui media.

Beliau juga yakin pihak kontraktor mampu menyelesaikan isu tersebut dan dapat disiapkan sebelum September ini.

Datuk Amar Douglas Uggah yang juga menteri bertanggungjawab bagi UNIFOR berkata, Ahli Lembaga Amanah UNIFOR telah memantau perkembangan projek dengan aktif.

Selain itu ujarnya, persefahaman berkaitan tempoh penyiapan projek juga wujud dengan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memboleh Permit Menduduki (OP) dikeluarkan selewat-lewatnya minggu pertama September ini.

"Selain itu, mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan menyewa di ruang kompleks juga boleh datang meninjau.

"Tetapi UNIFOR akan berpindah terlebih dahulu dan melakukan pengubahsuaian pada September atau Oktober untuk beroperasi pada tahun depan,"
 jelasnya.

Mengenai sama ada terdapat keperluan untuk melebarkan jalan di kawasan itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, perkara tersebut akan dikaji.
 
“Saya percaya ada keperluan untuk jalan yang lebih luas berikutan pembangunan yang belaku di kawasan ini. 

“Kini kami mempunyai Yayasan Kebudayaan Dayak dan ibu pejabat Dewan Perniagaan Dayak serta Ibu Pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh di sini.

"Ada juga bangunan persendirian besar lain yang akan dibina pada masa akan datang.
 
“Jadi pembesaran jalan ini perlu dikaji," katanya.-EDISI UKAS