Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Pantau Tiga PPS Di Miri

Disiarkan pada 30 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, mengadakan lawatan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Miri hari ini bagi meninjau keadaan mangsa bencana serta memastikan operasi pusat pemindahan berjalan lancar.

Lawatan tersebut melibatkan tiga PPS utama, iaitu PPS Bulan Sabit Merah, PPS Kampung Sukan PETRONAS, dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Pujut Tanjong Batu.

Sepanjang pemantauan, beliau diberi taklimat mengenai tahap kesihatan dan kesejahteraan mangsa bencana oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr. P. Raviwharmman Packierisamy.

Pemeriksaan kesihatan berkala turut dijalankan bagi memastikan kesihatan penduduk yang terjejas dalam keadaan baik.

Sehingga kini, kesemua PPS yang beroperasi berada dalam keadaan terkawal dengan bekalan makanan, tempat perlindungan, dan keperluan asas mencukupi bagi menampung mangsa bencana yang dipindahkan.

Kerajaan Sarawak akan terus memantau situasi ini dan memastikan kebajikan mangsa terjamin sehingga keadaan kembali pulih.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Residen Bahagian Miri, Galong Luang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, serta wakil daripada pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.-EDISI UKAS