Pengubahsuaian Pusat Seni Persembahan Sarawak Diilhamkan Daripada Royal Albert Hall

Disiarkan pada 03 May 2024
Sumber Berita: UKAS

 
KUCHING: Pengubahsuaian Pusat Seni Persembahan Sarawak di sini yang diilhamkan daripada Royal Albert Hall, London dijangka menjadi mercu tanda baharu dalam seni dan budaya di negeri ini.
 
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek ini melibatkan pengubahsuaian bangunan dengan perbelanjaan kira-kira RM200 juta serta kerja naik taraf landskap sekitar RM60 juta dan dijangka siap pada tahun 2027.
 
Menurut beliau, pusat persembahan ini adalah satu daripada infrastruktur untuk mengalakkan dan melonjakkan industri pelancongan dan perkhidmatan di Sarawak.
 
“Rujukan reka bentuk bangunan ini adalah dari Royal Albert Hall di London, selain satu lagi di Amerika Syarikat.
 
“Ini bermakna mereka yang mempersembahkan apa juga persembahan, tidak perlu bawa mikrofon kerana semua ‘in-house’, boleh didengar dari semua sudut. 
 
“Jadi ini bermakna pusat seni persembahan ini memiliki standard antarabangsa dan kita boleh membawa para artis antarabangsa untuk menbuat persembahan di sini.
 
“Dan juga selalunya penggiat seni ini dia ada pengikut dan peminat di mana para peminat boleh datang ke sini. 
 
“Ini adalah sebab untuk kita menguatkan lagi industri pelancongan kerana waktu itu kita sudah ada kapal terbang sendiri,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran & Penyerahan Tapak Projek Pusat Seni Persembahan di pekarangan Kompleks Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini pada Khamis.
 
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pusat seni berkenaan bakal memberi impak kepada industri seni dan budaya tempatan di mana pusat ini akan menjadi platform untuk memperkukuhkan bakat-bakat tempatan melalui pendedahan kepada persembahan dan pembelajaran dari artis antarabangsa.
 
Beliau menegaskan bahawa untuk mencapai matlamat tersebut, adalah penting untuk mengekalkan standard antarabangsa dalam pembangunan pusat seni itu demi menarik minat dan sokongan daripada pelbagai pihak.
 
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina binti Hussaini serta tetamu kenamaan lain. -UKASnews