Majlis Makan Ala Kaul Bangkit Nostalgia Lama

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS



MUKAH: Satu Majlis Bacaan Doa dan Kesyukuran berkonsepkan ala 'Kaul' dengan mengadakan jamuan duduk bersila di atas lantai telah diadakan untuk mencetuskan nostalgia zaman dulu kala.
 
Menurut Ketua Kaum Kampung Sau, Mazlan Abdullah dalam ucapan aluannya konsep jamuan duduk bersila di atas lantai ala Kaul ini perlu dipraktikkan kembali bagi mengingati kesusahan orang dulu-dulu dengan mensyukuri rezeki yang ada.
 
"Maka pada hari ini kita mengadakan Majlis Bacaan Doa dan Kesyukuran dengan berkongsi 'potluck' bersama-sama penduduk kampung bagi mengeratkan lagi silaturahim antara kita,” ujarnya.
 
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi turut bersetuju dengan konsep seperti ini dan mahu ia diadakan dua tahun sekali seperti yang dicadangkan.
 
"Kita bersyukur dengan pembangunan telah diadakan untuk Kampung Sau pada masa sekarang dan akan datang, contohnya pada hari ini kita akan merasmikan gelanggang takraw dan futsal seperti yang kita guna hari ini.
 
"Untuk pelaksanaan projek akan datang, kita berusaha untuk membina sebuah jeti di Kampung Sau ini seperti mana yang dipohon oleh penduduk kampung sejak dulu dan memasukkannya dalam projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Balingian.
 
"Saya berterima kasih atas sokongan padu penduduk Sau ini kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan berharap sokongan berterusan bagi meneruskan agenda pembangunan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bacaan Doa dan Kesyukuran di Gelanggang Takraw & Futsal Kampung Sau pada Rabu.
 
Terdahulu, Abdul Yakub telah menyampaikan bakul makanan sumbangan Rinwood Estate Plantation Sebakong Mukah kepada 25 penerima.
 
Turut hadir wakil Pejabat Daerah Mukah Nolin Gendang dan Pegawai Khas Pusat Khidmat Mukah Almalhakim Norshidi.-EDISI UKAS