Tangani segera parit tersumbat di Jalan Repok, Jalan Hua Tai

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Isu parit di Jalan Repok dan Simpang Jalan Hua Tai tersumbat yang menyebabkan paras air naik sehingga masuk ke dalam rumah semasa hujan telah membawa banyak kesusahan kepada rakyat.
 
Justeru Kapitan Ling Dien Yong, wakil Ahli Parlimen Sarikei, Dato' Sri Huang Tiong Sii telah menggesa pihak bertanggungjawab untuk menjalankan kerja pembersihan di parit tersebut dengan secepat mungkin.
 
Beliau juga menyatakan bahawa bumbung perhentian bas di Jalan Repok telah berlubang dan perlu menjalankan kerja baikpulih dengan secepat mungkin supaya orang awam tidak terkena hujan ketika menunggu kenderaan.
 
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di Jalan Repok dan Jalan Hua Tai di sini pada Rabu.
 
Sehubungan itu, pasukan Pusat Khidmat Repok bersama dengan Jurutera Majlis Daerah Sarikei, Bobari Bilang Nelson telah menjalankan tinjauan ke tempat tersebut untuk memahami situasi serta menyelesaikan masalah.
 
Hadir sama Penghulu Huang Tiong Kang, Kapitan Ling Sien Chuong dan Kapitan Law Pick Hung.-EDISI UKAS