Dana RM296,000 Untuk Perkasa Pembangunan Komuniti di Batu Danau

Disiarkan pada 28 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Sebanyak RM296,000 diperuntukkan bagi memperkasa pembangunan komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Dana ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, sosial, serta inisiatif tahunan yang dijalankan oleh pertubuhan setempat.

Dalam majlis yang penuh bermakna, sebanyak 12 cek bernilai RM120,000 telah diserahkan kepada 12 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Batu Danau.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, turut menyerahkan 41 cek bernilai RM176,000 kepada penerima yang terdiri daripada NGO, JKKK, dan Unit SABERKAS.

Menurut Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, peruntukan ini bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, tetapi ia juga merupakan satu pelaburan yang penting untuk memperkukuh lagi komuniti setempat, terutama di kawasan luar bandar.

Dengan dana ini, diharapkan dapat mempertingkatkan kemudahan dan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, serta mengukuhkan lagi semangat kerjasama dalam kalangan penduduk Batu Danau.

“Dana ini bertujuan membantu masyarakat melaksanakan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada penduduk setempat. Ia termasuk program sosial, inisiatif pembangunan, dan usaha memupuk perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau berkata demikian semasa Majlis penyerahan cek MRP berlangsung di Hotel Purnama Limbang pada Selasa.

Beliau turut menekankan peranan penting JKKK, Tuai Rumah, Penghulu, Pemanca, dan Temenggong dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai; Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal; dan Temenggong Nicholas Buyok Pura.-EDISI UKAS