Pasukan SAR Giat Mencari Mangsa Terakhir Tragedi Tanah Runtuh Kampung Lereng Bukit Miri

Posted on 28 Jan 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Seorang lagi mangsa tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini masih belum ditemukan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini giat mencari seorang lagi mangsa iaitu wanita warga emas berusia 71 tahun.

Jelas beliau, mangsa merupakan antara 12 orang mangsa yang terlibat dalam kejadian dua rumah yang tertimbus akibat tanah runtuh itu.

"Pasukan mencari dan penyelamat telah menemukan mayat seorang lagi mangsa, iaitu mangsa kedua, seorang perempuan berumur 41 tahun pada jam 10.40 pagi di bawah runtuhan rumah yang roboh

"Mayat mangsa ketiga iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun pula ditemukan pada jam 11.30 pagi.

"Manakala pada jam 11.40 pagi, pasukan mencari dan penyelamat telah menemukan seorang lagi mayat iaitu mangsa keempat yang merupakan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun di bawah runtuhan rumah yang sama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

ACP Alexson menambah, operasi mencari dan menyelamat pada masa ini masih lagi diteruskan dengan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi.

"Seramai 19 orang pegawai dan 85 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi penyelamat di Miri telah digeralkan di dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh ini.

"Orang ramai sekali lagi dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini.

"Sebarang pertanyaan boleh merujuk kepada Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) atau Pusat Kawalan Daerah Miri di talian 085-433730 atau 085-433400," katanya.-EDISI UKAS