KUCHING: Sarawak kini dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia susulan hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa terus bertindak pantas memastikan keselamatan penduduk, dengan operasi pemantauan dan pemindahan dilakukan dalam kadar segera.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, memaklumkan bahawa sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di seluruh negeri termasuk Bintulu, Serian, Kuching dan Sibu.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, meskipun beberapa kawasan yang sebelum ini sering dilanda banjir kini tidak terjejas, penduduk di lokasi berisiko tinggi masih perlu berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Nasihat saya kepada penduduk di kawasan yang terjejas adalah untuk sentiasa bersiap sedia. Jika pihak berkuasa mengarahkan pemindahan, mereka mesti patuh. Ini sangat penting demi keselamatan mereka.
"Agensi seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysiq, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat memastikan bantuan, termasuk bekalan makanan, disalurkan kepada mangsa yang terjejas dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, hujan lebat berterusan bukan sahaja meningkatkan risiko banjir di Sarawak, malah turut menyebabkan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan, khususnya di Miri.
Beliau mendedahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan lebih RM60 juta tahun lalu bagi membaiki jalan dan jambatan yang rosak akibat tanah runtuh, yang sering berlaku di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, memaklumkan bahawa satu mesyuarat tergempar telah diadakan semalam bagi mengaktifkan bilik operasi pengurusan bencana mini di Miri.
"Kami telah mengaktifkan semua pasukan tindak balas kecemasan serta semua agensi yang terlibat untuk membantu dan memperkukuh pengurusan kawalan bencana.
“Oleh itu, kami berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya," kata Dato Sri Lee.
Penduduk yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan untuk berhati-hati dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca, selain segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa. - EDISI UKAS