Toh Puan Fauziah Terima Kunjungan Hormat PPWS

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menerima kunjungan hormat Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Pengerusi Negeri PPWS Sesi 2023/2024 Aishah Edris yang bertujuan menjemput Toh Puan Fauziah selaku Penaung PPWS untuk hadir ke Jamuan ‘Hi-Tea’ di Dewan Sri Mahligai di Jalan Crook Shank sempena Sambutan Hari PPWS pada 5 Mei depan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aktiviti bersama Toh Puan Fauziah pada masa depan, Aishah memberitahu, PPWS akan berbincang dengan pihak Toh Puan bagi penganjuran program-program yang boleh dianjurkan bersama.

Tambahnya, aktiviti bersama PPWS boleh digunakan untuk berjumpa dengan ahli-ahli lain di seluruh Sarawak di samping menjadi tenaga kerja tambahan untuk penganjuran program melibatkan Toh Puan Fauziah. -EDISI UKAS