KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang meneruskan kunjungan rumah terbuka Tahun Baru Cina 2025 di kediaman Pengarah Urusan Plaza Merdeka Holdings, Dato Steve Ng Thian Yew.
Ketibaan Datuk Patinggi Abang Zohari berserta rombongan pada majlis itu di sambut mesra oleh Dato Steve Ng serta isteri di kediamannya di Jalan Bamflyde sekitar jam 12.30 tengahari dan kemudiannya dipersembahkan dengan tarian singa.
Turut mengiringi ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud serta Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan isteri Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari hadir ke Rumah Terbuka TBC Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan kemudiannya meneruskan kunjungan TBC ke rumah terbuka Dato Sri Foo Joo Chung di Hotel Waterfront.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Pusat Pakar Perubatan Normah, Dato Dr Au Yong Kien Hoe antara yang dikunjungi Premier Sarawak di kediamannya yang terletak di Jalan Tun Abang Haji Openg dan kediaman Dato Tan Jit Kee yang masing-masing mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina pada hari pertama sambutan.
Premier Sarawak dijadual mengakhiri kunjungan hari pertamanya di kediaman Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam pada petang nanti.-EDISI UKAS