SELANGAU: Komitmen Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta untuk mendekati rakyat dan memacu pembangunan kawasan terus terserlah melalui kehadirannya dalam dua program Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekuau pada Ahad.
Edwin memulakan program di Rh Labang Ayom dengan menanam anak sawit secara simbolik bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang tersebut.
Beliau memuji penduduk kerana bijak memanfaatkan kawasan terbiar untuk usaha pertanian kelompok yang diyakini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi rumah panjang.
“Ini adalah bukti bahawa kerjasama dan usaha yang bijak mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat. Saya amat bangga dengan inisiatif ini,” katanya.
Seterusnya, program diteruskan di Rh Collins Nyuwak (Rh Penghulu Andrewson Ngalai) di mana beliau merasmikan rumah JKKK serta menyerahkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM164,000 kepada beberapa JKKK, kelab dan pertubuhan tempatan.
Melalui program ini, beliau mengukuhkan lagi hubungannya dengan rakyat, selain menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong usaha pembangunan masyarakat di Selangau.
Kehadirannya mendapat sambutan hangat dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat.
“Majlis seperti ini bukan sahaja mendekatkan pemimpin dengan rakyat, tetapi juga memberikan peluang untuk mendengar suara dan keperluan mereka secara langsung. Pembangunan kawasan Selangau adalah keutamaan saya,” tambahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri pemimpin tempatan seperti Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan, Pemanca Daerah Tatau, Pemanca Gerosen Jubin serta beberapa penghulu dari kawasan sekitar.-EDISI UKAS