KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang diketuai Pengarah Kerja Raya Sarawak, Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy Morris telah melakukan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Selasa.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan telah menyambut ketibaan rombongan JKR Sarawak yang turut disertai pihak pengurusan tertinggi JKR Sarawak iaitu Timbalan Pengarah (Infrastruktur), Ir. Wisil Lichok, Timbalan Pengarah (Bangunan & Pakar), Sharifah Liz Farawati Wan Omar, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Teknikal), Ts. Meehan Jorai, Timbalan Pengarah (Sektor Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat), Josenthiana Manggie dan wakil Timbalan Pengarah (Aset), Ts. Mohammad Saifrol Sheikh Naimullah.
Kunjungan hormat itu dilakukan bagi meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang komunikasi awam selain memperkasakan lagi jaringan kerjasama dalam pelbagai aspek di antara UKAS dan JKR Sarawak.
Dalam kunjungan hormat tersebut, Awang Putrayusrie telah memberi taklimat ringkas mengenai peranan dan fungsi UKAS sebagai media rasmi Kerajaan Sarawak dalam menyampaikan maklumat rasmi kerajaan kepada rakyat.
Beliau juga mengalukan-alukan kerjasama di antara UKAS dan JKR Sarawak dalam penyampaian maklumat berkaitan projek-projek pembangunan untuk rakyat negeri ini.
Sementara itu, Pengarah Kerja Raya Sarawak dalam taklimat balasnya memberitahu, kunjungan tersebut dilakukan bagi mengenali dan memahami dengan lebih dekat operasi dan gerak kerja UKAS sebagai saluran informasi rakyat.
Jelas beliau, ini terutamanya dalam aspek penyebaran maklumat pelbagai projek rakyat yang dirancang, sedang dilaksanakan dan projek siap yang dikendalikan oleh JKR Sarawak.
Turut hadir, barisan Ketua-ketua Penolong Pengarah UKAS serta pegawai-pegawai JKR Sarawak.-EDISI UKAS