DALAT: Tebingan Sungai Dalat kini menjadi pusat aktiviti komuniti yang bukan sahaja menyatukan penduduk setempat tetapi juga berperanan sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menekankan potensi besar Tebingan Sungai Dalat sebagai tempat pertemuan yang dapat dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti sosial, riadah dan pembangunan bakat masyarakat.
Katanya, ia bukan hanya sebagai tempat rekreasi tetapi juga sebagai hab komuniti yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan sosial, bakat dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Tebingan Sungai Dalat bukan sekadar tempat bersantai, tetapi juga ruang untuk beriadah, bersosialisasi, dan menyatukan rakyat.
“Di sinilah kita boleh melaksanakan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mini Karnival Sukan Komuniti DWF 2025 di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif terdahulu seperti Dalat Got Talent yang berjaya menggilap bakat anak muda tempatan dan menyatakan bahawa aktiviti seperti ini perlu diteruskan.
“Kita mahu anak-anak kita mempunyai peluang untuk menunjukkan bakat mereka. Dengan platform seperti ini, kita dapat mengenal pasti minat mereka dan membantu mengembangkan keupayaan mereka dalam pelbagai bidang.
“Anggaplah tempat ini sebagai platform untuk mencungkil potensi dan menemui bakat baharu.
“Setiap kanak-kanak ada keistimewaannya dan kita akan bantu mereka kembangkan bakat tersebut,” tambahnya. - EDISI UKAS