Rangka Kerja Kawal Selia Diperlukan Untuk Pengamal Media & Wartawan 'Netizen'

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Rangka Kerja Kawal Selia amat diperlukan bagi mengawal selia pengamal media terutamanya golongan wartawan ‘netizen’ di Sarawak.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merasakan perlu adanya satu rangka kawal selia bagi mengelakkan berlakunya penyaluran maklumat yang tidak sahih.

“Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi juga bertanya untuk memastikan satu rangka kerja kawal selia dilakukan bagi pengamal media di Sarawak dari segi etika dan sebagainya.

“Hal ini disebabkan kehadiran wartawan-wartawan yang tidak rasmi dengan penyaluran maklumat yang benar atau tidak haruslah ada peraturan untuk mengawal semua ini, maka beliau akan mengkaji sendiri undang-undang untuk perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Tambah Datuk Abdullah, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sebagai peguam memahami kepentingan undang-undang bagi mengawal selia wartawan-wartawan ‘netizen’ yang boleh membawa kebaikan dan keburukannya tersendiri.

Selain itu katanya, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi juga menasihatkan warga media untuk meningkatkan kepakaran mereka agar mengelakkan kekeliruan berlaku terutamanya melibatkan perkara-perkara teknikal.

“Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menggalakkan untuk mengadakan program-program mengenai inisiatif kerajaan terkini seperti sesi dialog bersama kementerian di Sarawak supaya warga media faham setiap polisi yang dibuat kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Abdullah memberitahu, buku-buku penulisan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi juga akan dipamerkan ketika Hari Wartawan Nasional (HAWANA) kelak.

Ujarnya, buku-buku penulisan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi mempunyai maklumat mengenai keadaan Sarawak ketika pembentukan Malaysia yang melalui pelbagai cabaran pada ketika itu.

Turut hadir, Pengarah UKAS, Samuel Simon, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili, Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Ronnie Teo dan pegawai UKAS yang lain. -EDISI UKAS