PPK Tangani Isu Taraf Kewarganegaraan Daerah Limbang

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


LIMBANG: Program Pengoperasian Pasukan Petugas Khas (PPK) telah dilaksanakan bagi menangani masalah penduduk Sarawak yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan di daerah ini.

Program anjuran Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang, Pejabat Daerah Limbang dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ini telah diadakan pada 30 April lepas. 

Antara kaedah permohonan yang dilaksanakan semasa program adalah pemohon mengisi borang yang telah disediakan bersama penjamin dan disahkan oleh majistret. 

Selain itu, pemohon juga akan melalui proses temuduga secara bersemuka oleh para petugas JPN. 

Difahamkan melalui program yang mengambil tempat di Rumah Joshua Asong, Kampung Long Napir, Limbang ini, terdapat lapan pemohon yang terdiri daripada lima orang berbangsa Penan, seorang berbangsa Kelabit dan dua orang berbangsa Iban.

Antara kategori permohonan ialah ketiadaan dokumen pengenalan diri, belum ditentukan status pemegang sijil lahir Sarawak dan pendaftaran lewat.

Dalam pada itu, kerjasama baik yang diberikan masyarakat setempat dapat memudahkan pelaksanaan program ini sekaligus merapatkan lagi hubungan baik dalam kalangan agensi kerajaan bersama penduduk tempatan. 

Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai serta pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan. -EDISI UKAS