Datuk Mutang Ketuai Delegasi Malaysia Lakukan Kunjungan Hormat Terhadap Speaker Milli Majlis Azerbaijan

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Milli Majlis Azerbaijan, Sahiba Gafarova di Baku Azerbaijan pada Rabu waktu tempatan. 

Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara dalam satu kenyataan media pada Khamis, pertemuan ini merupakan sebahagian daripada lawatan kerja Senator Datuk Mutang Tagal ke Azerbaijan, di mana beliau mengetuai delegasi Malaysia yang menghadiri “6th World Forum on Intercultural Dialogue” di Baku, Azerbaijan dari 1 hingga 3 Mei 2024.

Kenyataan sama memberitahu, kedua-dua pihak telah berbincang untuk meningkatkan lagi kerjasama di dalam bidang pendidikan dan ekonomi. 

Dalam pada itu, Datuk Mutang juga meminta kerjasama Sahiba untuk membantu dengan logistik dan pergerakan delegasi Malaysia yang akan mengambil bahagian di dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2024  (COP29) di Azerbaijan selaku tuan rumah pada tahun ini.

Sementara itu, Sahiba menyatakan penghargaan beliau untuk penyertaan aktif Malaysia dalam forum tersebut dan menekankan kepentingan memelihara hubungan erat melalui Kumpulan Persahabatan Parlimen yang telah ditubuhkan antara kedua-dua negara. 

Di samping itu, Datuk Mutang turut menjemput Sahiba untuk melakukan lawatan balas ke Malaysia bagi meningkatkan lagi pemahaman dan kerjasama bersama.

Turut hadir, Duta Malaysia ke Azerbaijan Ahmad Kamrizamil Mohd Riza, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed dan Ahli Dewan Negara Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman. -EDISI UKAS