Sarawak Sasar Tidak Perlu Import Beras Menjelang 2030

Disiarkan pada 28 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


GEDONG: Sarawak tidak lagi perlu untuk mengimport beras sekiranya berjaya mencapai sasaran pengeluaran 240,000 tan padi setahun menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sekiranya Sarawak berjaya menghasilkan lebih daripada 240,000 tan maka Sarawak akan mengeksport beras tersebut ditambah dengan industri hiliran beras.

Tambahnya, pengeluaran padi ini akan menggunakan kaedah dan teknologi yang baharu sehingga dapat mengeluarkan 9 tan per hektar padi yang akan mengeluarkan hasil secara lima musim dalam masa 24 bulan.

"Jadi, ini semua cara baharu dan kalau padi kita bertambah, kita jualkan beras kita melalui cara kita iaitu menggunakan perkhidmatan bank yang merupakan cara baharu.

"Kini, Sarawak hanya memerlukan 240,000 tan padi dan sekiranya dapat melaksanakan sasaran tersebut maka kita tidak perlu import beras lagi. Kalau tidak, kita hanya bergantung kepada beras import Vietnam dan India.

"Kalau beras kita ada lagi lebih, kita pergilah ke industri hiliran beras termasuklah penghasilan tepung beras di mana kita dapat menghasilkan makanan seperti biskut yang akan menggunakan bank untuk orang ramai membeli biskut 'Made in Gedong'," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Digital Desa Bank Rakyat 2025 Gedong di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini pada Selasa.

Sementara itu dalam sidang media, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak kini masih mengenal pasti kawasan yang diperlukan untuk projek penanaman padi yang melibatkan 14,000 hektar tanah untuk mencapai sasaran pengeluaran 240,000 tan beras.

Jelasnya, kerajaan Sarawak kini akan memberi fokus sepenuhnya untuk mendidik para petani menggunakan kaedah dan teknologi baharu termasuk pembelian mesin-mesin yang akan disewakan kepada para petani.

"Waktu kini ialah untuk kita mendidik para petani dengan penukaran daripada cara lama kepada cara baharu yang membabitkan universiti-universiti rakan kongsi kita iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Orang kampung kalau mereka melihat barulah percaya, maka sebab itu saya membeli mesin menanam padi yang diberikan kepada Persatuan Peladang untuk mereka sewa atau beli kepada petani-petani kita.

"Kalau dicampur dengan dengan petani-petani kecil ini maka kita boleh sasar untuk mencapai lebih daripada 240,000 tan (padi) setahun," jelasnya.

Tambahnya lagi, projek penanaman padi ini telah dimulakan di kawasan Gedong di Lubok Punggor, kawasan Bintangor di Meradong dan Kampung Kuala Rajang yang dimiliki oleh petani kecil dengan kerajaan Sarawak bekerjasama dengan petani tersebut untuk melatih mereka menggunakan mesin-mesin pertanian.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Naroden Majais, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta dif-dif kenamaan yang lain. -EDISI UKAS