Penurunan Beberapa Kuasa Autonomi Kepada Sarawak Percepatkan Pencapaian SDG

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Penurunan beberapa kuasa autonomi daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sarawak akan mempercepatkan pencapaian agenda Matlamat Pembangunan Mapan (SDG). 

Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Dato' Seri Zain Al-'Abidin ibni Tuanku Muhriz berkata, Sarawak memiliki perpaduan, autonomi dan kuasa yang menjadi asas yang hebat dalam mencapai SDG yang jauh lebih baik daripada Semenanjung Malaysia. 

"Satu perkara yang sangat menarik tentang Sarawak ialah langkah ke arah lebih banyak autonomi dan desentralisasi.

"Dan sudah tentu anda telah bercakap tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah kini anda telah menjangkaui dengan bercakap tentang autonomi dalam kesihatan, lebih autonomi dalam pendidikan, dan saya fikir ia sangat menarik kerana jika anda mempunyai autonomi ini, kami di Semenanjung sangat ingin melihat adakah anda mendapat keputusan yang lebih baik. 

"Jika anda mempunyai kuasa yang lebih di peringkat negeri, adakah anda mampu menyampaikan SGD dengan lebih baik. 

"Jika jawapannya ya maka lebih autonomi, lebih desentralisasi adalah apa yang harus berlaku di seluruh Malaysia dan bukan sahaja di Sarawak," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas memberi ceramah pada 'SCOPE Distinguished Speakers on Sustainable Development Goals' di sini pada Khamis. 

Dalam pada itu, turut berlangsung sesi dialog dan perkongsian daripada para peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Tanah dan Survei, Institut Pembangunan Sarawak (SDI), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan lain-lain. 

Hadir sama, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg dan Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Rohana Datu Wan Alwi. -EDISI UKAS