45 Persatuan Komuniti, JKKK & AJK Gereja Terima Bantuan Kerajaan

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Sebanyak 45 buah persatuan komuniti, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Gereja menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.5 juta daripada kerajaan Sarawak.

Pada majlis tersebut, Jawatankuasa Saint George Chapel di Kampung Bowang telah mendahululi senarai penerima yang juga penerima Cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan nilai RM650,000 diikuti oleh 43 penerima Geran Projek Khas yang berjumlah RM862,000.

Hadir menyempurnakan majlis penyerahan dana tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil.

Majlis penyerahan cek tersebut turut disaksikan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan juga Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap.

Datuk Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong dalam ucapannya menyeru agar penerima dana tersebut membelanjakannya dengan sebaik mungkin mengikut keperluan yang telah dirancangkan sebelum mengajukan permohonan. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu kepada mana-mana pihak yang belum menerima dana Geran Projek Khas agar bersabar dan berjanji akan menunaikan permintaan mereka dalam masa yang terdekat. -EDISI UKAS