DALAT: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) perlu memperkasakan golongan muda, memanfaatkan teknologi, menjalin kerjasama strategik, serta memberikan latihan kepada ahli bagi memastikan organisasi kekal relevan dalam arus perubahan semasa.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, PERKIM telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program dakwah, bantuan kebajikan, pembangunan pendidikan, serta aktiviti komuniti yang memperkukuhkan hubungan silaturrahim dalam masyarakat.
“Sebagai sebuah NGO, PERKIM Sarawak akan terus menyediakan latihan dan pendedahan bagi membantu masyarakat Islam negeri ini meningkatkan ilmu pengetahuan.
"Melalui teras pendidikan, dakwah, dan kebajikan, PERKIM berusaha membina masyarakat yang berilmu dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Cawangan Dalat/Oya yang berlangsung di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut menyeru semua pihak agar terus menyokong usaha PERKIM dalam memperkukuhkan organisasi demi manfaat ummah.
“Saya berharap dengan iltizam yang tinggi, PERKIM akan terus menjadi inspirasi kepada masyarakat dan memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti,” tambahnya.
Dalam majlis tersebut, beliau mengucapkan tahniah kepada PERKIM atas kejayaan menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan serta pelaksanaan pelbagai program bermanfaat sepanjang tahun lalu yang telah memberi impak positif kepada masyarakat.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert, serta pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS