Program SejaTi MADANI Mampu Tingkatkan Sosioekonomi Komuniti Setempat

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) diperkenalkan dan dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, di bawah program ini, kerajaan menyediakan peruntukan yang mana nilai geran sehingga RM100,000 boleh diberikan kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menjayakan program berkenaan.

“Selaras dengan hasrat serta keputusan kerajaan negeri, hanya JKKK yang mempunyai sijil serta berdaftar dengan pejabat daerah sahaja yang layak untuk memohon peruntukan ini.

"Oleh itu setiap JKKK haruslah mengambil peluang ini dengan mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah Simunjan sebelum ia diluluskan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Taklimat Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Taklimat Program SejaTi MADANI di Dewan Mesra Simunjan pada Khamis.

Menurut beliau, mereka yang terlibat perlu menggunakan peluang dan kesempatan yang ada ini agar mampu meningkatkan serta merancakkan lagi sosioekonomi orang kampung.

Jelas Awla, program tersebut melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) Jasni Jubli menjelaskan bahawa Program SejaTi MADANI merupakan pendekatan 'bottom-up approach' di mana JKKK sendiri mengenal pasti keperluan mereka dan menentukan program yang ingin dilaksanakan berdasarkan kepada lima sektor tumpuan yang telah ditetapkan.

Kata beliau lagi, program tersebut adalah merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI yang mana di peringkat Sarawak, tanggungjawab ini telah diberikan kepada SDO.

Terdahulu para peserta yang terdiri daripada pengerusi-pengerusi JKKK bersama setiausaha masing-masing telah diperdengarkan dengan taklimat daripada pihak Majlis Daerah Simunjan, Pejabat Premier Sarawak dan pihak SDO sendiri.

Hadir sama Pegawai Daerah Simunjan Seroji Ludin, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan Sanuyah Mohamad, Pegawai Tadbir (Komunikasi), Pejabat Premier Sarawak Zamri Mohamad, Pemanca Liew Wee Tchiun, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi serta Pengerusi-pengerusi JKKK di DUN Simunjan bersama setiausaha masing-masing. -EDISI UKAS