Sarawak Space Industry Roadmap Dijangka Siap Februari 2025

Posted on 27 Jan 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kajian mengenai Sarawak Space Industry Roadmap dijangka siap pada akhir Februari tahun ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata bahawa kajian untuk merangka roadmap tersebut kini sedang giat dijalankan oleh Sarawak Multimedia Authority.

“Pada masa ini, sekretariat kami di SMA masih dalam proses menyiapkannya. Diharapkan menjelang akhir Februari, ia dapat disiapkan. Ini kerana untuk merealisasikannya, kita mesti mempunyai pelan hala tuju yang betul. Kami sedang mengusahakannya sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di sini, pada Isnin.

Bagi menyokong inisiatif ini, Dato Sri Julaihi turut memaklumkan bahawa Sarawak telah menubuhkan Jawatankuasa Industri Angkasa dan Satelit (SISCOM) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Jawatankuasa tersebut akan bertindak sebagai pemacu utama dalam pembangunan industri angkasa di negeri ini.

“Melalui usaha ini, peluang dalam bidang komunikasi satelit, penerokaan angkasa dan industri berkaitan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital serta kemajuan teknologi angkasa di Sarawak,”tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Utiliti Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Tetap, Syed Mohamada Fauzi Shahab, Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Datuk Sharbini Suhaili dan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng.-EDISI UKAS