Sarawak Cadang Modul Pencegahan Vandalisme Di Pusat Latihan NADI

Posted on 27 Jan 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Cadangan untuk menambah Modul Pencegahan Vandalisme dalam program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diketengahkan sebagai langkah proaktif menangani jenayah vandalisme yang semakin meruncing.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata modul tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelatih NADI daripada pelbagai lapisan umur mengenai kesan buruk perbuatan vandalisme terhadap masyarakat dan perkhidmatan awam.

“Usaha membanteras vandalisme hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu bukan sahaja melibatkan pihak Kerajaan seperti Kementerian, jabatan dan agensi-agensi yang berkaitan tetapi memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Amanat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di sini pada Isnin.

Selain itu, Dato Sri Julaihi menyeru agar langkah penguatkuasaan dan keselamatan terhadap aset utiliti terus diperkukuh untuk mengurangkan kejadian vandalisme.

“Di samping itu, tindakan penguatkuasaan dan keselamatan aset utiliti juga hendaklah ditingkatkan agar jenayah vandalisme ini dapat dibendung,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Utiliti Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Tetap, Syed Mohamada Fauzi Shahab, Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Datuk Sharbini Suhaili dan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng.-EDISI UKAS