KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak terus komited dalam memperkasa kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan wanita dan kanak-kanak di negeri ini.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata antara program yang diteruskan adalah Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) yang telah terbukti membantu rakyat sejak diperkenalkan.
Ditemui dalam lawatan ke Wad Bersalin Hospital Umum Sarawak pada Isnin, beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan negeri tidak terhenti setakat pelaksanaan, tetapi turut diperkukuh dengan penambahbaikan bagi memastikan manfaat yang berterusan kepada rakyat.
EFS yang diperkenalkan pada tahun 2019 menyediakan simpanan amanah sebanyak RM1,000 kepada setiap kelahiran anak Sarawak tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi.
Setakat Disember 2024, sebanyak 128,687 akaun telah dibuka dengan jumlah peruntukan mencecah RM128.6 juta.
Mulai 1 Januari 2025, EFS akan diuruskan oleh Affin Bank bagi kelahiran baharu, manakala akaun sedia ada sehingga 31 Disember 2024 kekal di bawah Bank Islam Malaysia Berhad.
Bagi ibu yang melahirkan anak, kerajaan negeri turut menyediakan BIB yang menawarkan bantuan tunai RM450 secara one-off kepada ibu berstatus ‘K’ atau isteri kepada pemegang kad pengenalan berstatus ‘K’.
Sejak pelancarannya pada tahun 2020, seramai 77,958 ibu telah menerima manfaat dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM35.08 juta, bertujuan membantu mereka dalam tempoh berpantang.
Dalam ucapan Belanjawan Sarawak 2025 pada 11 November 2024, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan untuk memperkasa perlindungan sosial melalui EFS.
Manakala RM14 juta diperuntukkan bagi meneruskan BIB, membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan ibu dan anak-anak di Sarawak.
Usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti ini akan terus dipertingkatkan, selaras dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera dan mampan di negeri ini.
Turut hadir bersama lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.- EDISI UKAS