Sarawak Perkukuh Sokongan Pesakit Buah Pinggang dengan Peruntukan Besar

Disiarkan pada 27 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai penyelamat kepada ratusan pesakit buah pinggang dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang dirangka khusus untuk memastikan golongan ini dapat menjalani kehidupan lebih bermaruah dan berkualiti.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, bantuan yang disediakan tidak hanya terhad kepada rawatan dialisis semata-mata, tetapi turut merangkumi sokongan perjalanan, pemasangan AVF serta pengagihan mesin dialisis baharu.

“Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan perjalanan sebanyak RM50 untuk setiap sesi dialisis bagi pesakit yang tinggal jauh, membuktikan betapa seriusnya usaha kami untuk meringankan beban kos tambahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Maadicare Dialysis Charity Centre, Kuching pada Isnin.

Dedah beliau, sejak 1 Januari 2020 hingga 30 April 2024, sebanyak 590 permohonan telah diluluskan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM9,928,744.75.

Bagi tahun 2025 pula katanya, sebanyak 205 permohonan lanjutan telah diluluskan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM4.7 juta.

“Statistik ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri yang teguh dalam membela nasib pesakit buah pinggang,” katanya.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menzahirkan keprihatinannya terhadap cabaran kos tinggi yang terpaksa ditanggung pesakit.

Beliau menjelaskan bahawa kos rawatan dialisis di pusat badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta mencecah antara RM120 hingga RM200 bagi satu sesi, dengan sekurang-kurangnya tiga sesi diperlukan setiap minggu.

“Tanpa bantuan kerajaan, pesakit dari golongan B40 dan M40 rendah mungkin kehilangan harapan. Kos seperti pemasangan AVF yang mencecah RM3,000 adalah beban besar bagi mereka. Namun, rawatan ini amat penting dan tidak boleh diabaikan.

“Kerajaan Sarawak bukan sahaja membantu pesakit buah pinggang untuk meneruskan kehidupan, tetapi memberi mereka harapan baharu untuk menikmati kehidupan berkualiti,” tambah beliau.– EDISI UKAS