Penerima Notis Sepanjang Operasi Rabies Diwajibkan Kemuka Dokumen Lengkap Dalam Tempoh 14 Hari

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pemilik anjing yang menerima notis sepanjang Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak diwajibkan untuk mengemukakan dokumen lengkap pemilikan anjing dalam tempoh 14 hari.

Notis akan dikeluarkan oleh pihak Majlis Bandaraya dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) sekiranya pemilik anjing tiada di rumah sewaktu operasi dijalankan.

Dalam tempoh 14 hari, mereka yang menerima notis yang ditinggalkan oleh pihak penguatkuasa diwajibkan untuk mengemukakan dokumen pemilikan anjing di DVS dan Majlis Daerah masing-masing.

Kegagalan berbuat demikian akan mendapat tindakan selanjutnya daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi pemilik anjing yang mana anjingnya ditangkap oleh pihak Majlis Daerah boleh menuntut semula anjing mereka di tempat kurungan haiwan dalam tempoh 48 jam.

Penangkapan anjing hanya dibuat selepas mendapat kebenaran pemilik anjing ataupun anjing yang berkeliaran tanpa tuan.
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi negatif tentang operasi ini kerana ianya dibuat untuk kebaikan bersama. -EDISI UKAS