Pergerakan Pengakap Bentuk Generasi Muda Cemerlang

Disiarkan pada 27 Jan 2025
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Pergerakan Pengakap terus memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang berdaya tahan, berdisiplin, dan berintegriti.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penglibatan dalam pengakap bukan sekadar memberi latihan kemahiran luar seperti perkhemahan, malah memberi tumpuan yang serius kepada pembentukan sahsiah dan kepimpinan yang kukuh.

Menurutnya, ahli pengakap dilatih untuk menjadi individu yang mampu menghadapi cabaran hidup dengan penuh ketabahan, serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab mereka, baik terhadap diri sendiri mahupun masyarakat.

"Misi kita adalah untuk melahirkan generasi yang lebih kukuh dari segi fizikal dan mental. Pergerakan Pengakap harus mampu mendidik mereka untuk menjadi individu yang berintegriti, berdisiplin, dan mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap negara,” tegasnya.

Beliau selaku Penasihat Penaung 1 Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Kapit berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengakap Daerah Kapit untuk sesi 2025-2027 di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dato Sri Alexander memberitahu, majlis tersebut mencerminkan pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pengakap di peringkat daerah untuk memikul tanggungjawab besar dalam membimbing, mendidik, dan memacu Pergerakan Pengakap ke arah kecemerlangan.

Tambahnya lagi, watikah yang diserahkan bukan sekadar sekeping dokumen rasmi, tetapi simbol kepada tanggungjawab, amanah dan kepercayaan yang harus dijunjung dengan penuh komitmen serta dedikasi.

"Tuan-tuan dan puan-puan telah dipilih atas dedikasi dan kemampuan yang telah terbukti. Saya percaya dan yakin bahawa dengan sokongan daripada semua pihak, termasuk para pemimpin, ibu bapa dan masyarakat setempat, kita mampu membawa Pengakap Daerah ini ke tahap yang lebih gemilang,"jelas beliau.

Sehubungan itu, Dato Sri Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menyeru semua pemimpin dan ahli Pengakap supaya terus memberikan komitmen yang terbaik dalam mendukung visi dan misi pergerakan ini.

Dalam ucapan sama, Dato Sri Alexander turut memaklumkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Kapit bagi menjalankan aktiviti sepanjang tahun ini.

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Penaung Majlis Pengakap Kapit, Datuk Jefferson Jamit Unyat serta Penasihat di Pejabat Premier Sarawak selaku Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri Willam Mawan Ikom masing-masing menyumbang RM10,000 untuk tujuan sama.

Hadir di majlis itu ialah Timbalan Residen Kapit Robert Liman, Pesuruhjaya Pengakap Sarawak Kapten Zainnoldin Tan Sri Hamdan, Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak (I) Methodius Macdonald Segie, Pengerusi Majlis Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Kapit Cerisologo Sabut, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Ambrose Abong.-EDISI UKAS