KUCHING: Yayasan Sime Darby akan terus melaksanakan pelbagai projek berimpak di Sarawak melalui pelbagai industri yang mampu membantu komuniti-komuniti di wilayah ini.
Pengerusinya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar berkata, Yayasan Sime Darby sehingga kini telah menyalurkan sebanyak RM60 juta ke Sarawak melalui yayasan tersebut dengan tiga penyumbang terbesar melalui Sime Darby (SD) Guthrie, Sime Darby Berhad dan Sime Darby Property.
“Tiga syarikat penyumbang kami adalah SD Guthrie, yang dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantations, Sime Darby Berhad, sebuah konglomerat korporat dan Sime Darby Property.
“Mereka adalah pembiaya kami, dan melalui Yayasan ini, kami telah menyalurkan sebanyak RM60 juta ke Sarawak, khususnya dalam bidang pendidikan, alam sekitar, kesihatan komuniti, sukan, serta seni dan budaya.
"Bidang-bidang ini merupakan apa yang kami panggil sebagai ‘tiang utama’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Menara Pelita di sini pada Isnin.
Tunku Tan Sri Imran menambah, Sarawak mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bekerja keras di peringkat komuniti.
Ujarnya, Yayasan Sime Darby ingin terus menjadi rakan kerjasama pihak NGO dengan membantu membiayai mereka dan terus menyumbang kepada masyarakat di Sarawak.
“Setelah itu, mereka dapat berdiri sendiri dan meneruskan projek-projek seterusnya. Sarawak sememangnya sebuah negeri yang mempunyai potensi besar.
"Kami yakin masyarakat di sini akan memberi respons yang sangat baik,” jelasnya.
Turut hadir Ahli Majlis Tadbir Urus Yayasan Sime Darby Datu Dr Rashidah Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby Dr Yatela Zainal Abidin serta Ketua Strategi Dan Hal Ehwal Korporat Yayasan Sime Darby Muzdalifah Mohd Nasir. -EDISI UKAS