Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak Hari Ke-2: 35 Kompaun Dikeluarkan

Disiarkan pada 02 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Sebanyak 35 kompaun dikeluarkan sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak pada hari kedua di kawasan Desa Wira.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 kompaun dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) melibatkan kesalahan gagal mengemukakan lesen pemilikan anjing.

Manakala itu, sebanyak 16 kompaun pula dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS) melibatkan kesalahan gagal memvaksin anjing peliharaan mereka.

Bagi pemilik anjing yang tiada di rumah, pihak MPP dan DVS telah mengeluarkan sebanyak 30 notis pemberitahuan yang berkehendakan pemilik tampil mengemukakan dokumen lengkap anjing mereka di pejabat DVS dan Majlis Perbandaran dalam tempoh 14 hari.

Dalam operasi yang dijalankan pada Selasa lepas, sebanyak 36 ekor anjing berjaya divaksinkan oleh DVS dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).

Sementara itu, MPP berjaya mendaftarkan sebanyak 30 ekor anjing yang belum didaftarkan oleh pemiliknya sebelum ini.
Akhir sekali, jumlah tangkapan anjing liar yang dibuat pada hari kedua adalah sebanyak 21 ekor. -EDISI UKAS